TOK AWANG NGAH : EP6 - MAYAT BERNYAWA KUAT MAKAN
SUDAH lama saya bercadang mahu berpindah saja dari tempat tinggal Aki Sahak. Ini bukanlah disebabkan saya tidak mahu menanggung beban yang sering diletakkan oleh Aki Sahak ke bahu saya. Sebenarnya saya merasa penduduk-penduduk di situ sudah menganggap saya berlebihan, malah lebih penting lagi dari Aki Sahak.
Apa lagi Aki Sahak sendiri yang menceritakan tentang hubungan saya dengan Pak Tua Mahat di sebelah emak, dan Tok Aji di sebelah ayah. Memanglah benar Pak Tua Mahat itu abang emak saya yang tua, manakala Tok Aji itu ialah tok aki saya iaitu ayah kepada ayah saya.